Wednesday, May 6, 2009

Lima ditahan cuba sambut 'harijadi Altantuya'

Tiga ditahan di depan kompleks pejabat perdana menteri di Putrajaya selepas cuba "menyambut ulang tahun kelahiran Altantuya Shaariibuu", wanita Mongolia yang dibunuh tiga tahun lepas.

Kumpulan kira-kira 30 aktivis Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) juga menyerahkan sepucuk surat daripada bapa mangsa bunuh itu Shaariibuu Setev dan memorandum kepada Datuk Seri Najib Razak.

Sani Md Shah ditahan jam 11.15 pagi apabila memegang kek hari jadi, sementara Saufi Mihat dan Yasir Sheikh Abdul Rahman ditahan tidak lama selepas itu sewaktu memegang kain rentang di depan pintu masuk kompleks tersebut.

Ketiga-tiganya kemudian dibawa ke ibu pejabat polis daerah Putrajaya.

Kek seberat 2kg dan kain rentang itu yang dibawa oleh SAMM yang diketuai pemimpin PKR Badrul Hisham Shaharin turut dirampas polis.

Kek putih dan kain itu bertulisan "Selamat Hari Jadi Altantuya". Jika masih hidup, wanita itu kini berusia 31 tahun.

Setelah Badrul Hisham masuk ke balai, beliau dimaklumkan untuk hadir semula jam 2 petang ini.

Sewaktu hadir petang ini, beliau bersama seorang rakannya yang dikenali Nor Azizi turut ditahan untuk soal siasat berhubung sambutan hari jadi itu, demikian dimaklumkan oleh seorang jurucakap SAMM Amin Iskandar.

Mereka berlima masih ditahan di balai polis tersebut.-dipetik daripada Malaysiakini.com

No comments:

Post a Comment